MARA Patani

Majlis Syura Patani

Mengenai MARA Patani

Majlis Syura Patani atau MARA Patani adalah tempat duduk kira bicara hal ehwal PATANI. Bentuk perjuangan yang diketengahkan adalah melalui aksi politik untuk penyelesaian konflik PATANI sebagai titik akhir perjuangan menuntut hak memerintah Negeri PATANI dan membina bangsa oleh Rakyat PATANI sendiri.

Pada 25 Oktober 2014, MARA Patani ditubuhkan dengan penuh makna dan pentingnya dalam perjuangan rakyat Patani. Pemasyhuran ini dihasilkan melalui muktamar yang diadakan di luar pagar Patani dengan kehadiran perwakilan daripada semua komponen pertubuhan pembebasan Patani.

Dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, MARA Patani berkomitmen untuk menjadi tempat duduk kira bicara hal ehwal PATANI. Ia akan melibatkan perbincangan berkenaan hal memerintah dan membangun masyarakat Melayu PATANI berlandaskan hukum syariah. 

MARA PATANI juga merupakan satu wadah bagi wakil-wakil pejuang untuk bersama dalam satu Majlis Syura bagi mencari solusi politik penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan bagi mendapatkan kuasa mentadbir negeri PATANI DARUSSALAM.  

Tekad MARA Patani

Visi Perjuangan

MARA PATANI bertekad untuk membina kesatuan dan tanggungjawab bersama rakyat Patani dalam menentukan nasib sendiri. Melalui MARA Patani, kami berusaha memperkuatkan institusi politik perjuangan yang kondusif, berdaya maju, dan berkesinambungan. Kami juga memberi ruang kepada kumpulan gerakan lain dan organisasi kemasyarakatan untuk menyampaikan pandangan, cadangan, dan turut bertanggungjawab dalam membuat keputusan serta menentukan hala tuju politik perjuangan di meja rundingan.

MARA PATANI bersifat inklusif dan keahlian terdiri daripada wakil-wakil pejuang bersenjata seperti BRN, BIPP, PULO, Mujahiddin, dan wakil pejuang yang tidak bersenjata iaitu wakil pemuda, wanita, NGO, CSO, ahli akademik, ahli professional, etnik komuniti PATANI dan lain-lain untuk memberi khidmat nasihat dalam bidang masing-masing sebagai inisiatif jitu untuk memperkuatkan hujah-hujah kami di meja rundingan. 

Rencana Masa Depan

MARA Patani bercita-cita untuk membentuk masa depan yang lebih cerah dan bermakna bagi rakyat Patani. Kami akan terus melibatkan diri dalam proses perundingan damai , memperjuangkan keadilan, dan memastikan hak-hak rakyat Patani didengar dan dipertimbangkan.

Kami berkomitmen untuk mengembangkan strategi dan inisiatif yang akan memberi kesan positif kepada komuniti kami. Dengan kekuatan persatuan, kami yakin bahawa kita dapat mencapai perubahan yang berarti dan mengukuhkan kedaulatan serta kesejahteraan rakyat Patani.