Kira-kira lebih dari 10,000 penduduk di Narathiwat dan Yala terjejas akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat berterusan yang melanda wilayah di Patani.
Sembilan daerah di Narathiwat yang terjejas ialah Waeng, Sukhirin, Chanae, Rangae, Sungai Padi, Si Sakhon, Cho Airong, Yingo dan Rueso. Sementara itu, empat daerah di Yala yang terkesan akibat banjir itu ialah Thanto, Yaha, Bannang Sata dan Raman.
Paras air di tiga sungai di Narathiwat – Sungai Golok, Sungai Sai Buri dan Bang Nara, melimpah. Rangae, Yingo dan Rueso di wilayah Narathiwat yang paling terjejas teruk dengan rumah dan kawasan pertanian digenangi air, jalan raya tidak dapat dilalui dan beratus-ratus penduduk terpaksa berpindah,
Sementara itu, 14 perkhidmatan kereta api ke dan dari stesen Sungai Kolok dihentikan buat sementara waktu. Laluan kereta api Yala-Sungai Kolok akan ditutup sehingga banjir surut dan kerja-kerja baik pulih selesai. Untuk penumpang yang terjejas oleh penutupan ini, perkhidmatan bas disediakan antara Yala dan Sungai Kolok,
Diharapkan penduduk di kawasan yang terjejas untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta berpindah ke tempat yang selamat..





















